LAYANAN ISTERI BUKAN PELACUR

'Layan macam pelacur'


Kenapalah menyamakan wanita yang merupakan ibu dan isteri kepada anak-anak sebagai pelacur semata-mata untuk melayan suami? Adakah boleh disamakan kedudukan seorang pelacur dengan seorang wanita bergelar isteri yang sah lagi halal. Walaupun mungkin apa yang dimaksudkan oleh doktor ini adalah baik iaitu supaya seorang isteri memberi layanan 'first class' kepada suami tetapi penggunaan perkataan pelacur sudah mengheret kepada makna yang lain. 

Meminjam kata-kata facebook Ustaz Zaharudin ;

Inilah satu contoh penggunaan bahasa yg tidak tepat lagi mengelirukan. Siapa pula yg tahu cara layanan yg dikatakan istimewa itu? hanya pelanggan pelacur kelas pertama itu & penggemar video lucah kelas pertama. Pastinya tidak semua cara pelacur boleh dilakukan oleh suami isteri menurut hukum Islam.


Alangkah indahnya jika doktor tersebut memberi contoh bagaimana kehidupan rumahtangga Rasulullah dengan isteri-isterinya. Bagaimana layanan Rasulullah kepada isterinya menyebabkan isteri baginda menghargai Rasulullah. Begitu jugalah sebagai suami isteri menurut Islam perlunya ada 'give and take' dalam rumahtangga. Suamilah yang sepatutnya menunjukkan contoh terbaik.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya, dan aku ialah orang yang sangat berlaku baik terhadap isteriku.”


2011/06/05

Dr Rohaya Mohamed
Dr Rohaya Mohamed
Isteri ‘dingin’ di ranjang punca lelaki cari kepuasan di luar

KUALA LUMPUR: Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.
Malah, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami adalah antara punca utama kegagalan rumah tangga apabila pasangan mereka sebaliknya beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu. Peringatan itu disuarakan Naib Presiden Kelab Isteri Taat yang baru ditubuhkan di negara ini, Dr Rohaya Mohamed.
“Tanggungjawab isteri bukan saja untuk memasak, mengemas rumah dan menjadi ibu malah turut membabitkan aspek seksual. Lelaki berkahwin dengan wanita yang menyamai atau jauh lebih bagus daripada pelacur (di ranjang), sudah pasti tidak akan curang.

“Nafsu lelaki jauh lebih besar daripada wanita dan tidak boleh diketepikan. Daripada membiarkan mereka bergelumang dengan dosa, seorang isteri itu harus melakukan apa saja bagi memenuhi keinginan nafsu suami.

“Justeru, tanggungjawab kami adalah untuk membantu isteri menjadi lebih taat kepada suami. Seorang isteri hanya perlu memenuhi empat syarat untuk masuk syurga – menunaikan solat wajib, berpuasa ketika Ramadan, melindungi maruah dirinya serta taatkan suami,” katanya selepas majlis pelancaran kelab berkenaan di Kelab Golf Perangsang Templer dekat sini, semalam.

Kelab Isteri Taat mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Ia ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam. Kelab pertama dilancarkan di Jordan pada 1 Mei lalu, cawangan Malaysia semalam dan diikuti kelab di Jakarta, Indonesia pada 19 Jun depan. 

Organisasi syarikat itu juga merancang untuk menubuhkan cawangan kelab sama di Eropah termasuk London dan Rome pada masa depan.

Rohaya berkata, penubuhan kelab itu terbuka kepada semua golongan isteri tanpa mengira kaum dan agama serta menawarkan latihan dan khidmat nasihat termasuk pendidikan seks supaya golongan isteri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada suami masing-masing. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....