HIMPUNAN MANSUHKAN ISA 1 OGOS 2009



DMP NEGERI PERAK telah mengarahkan agar semua muslimat dapat bersama-sama turun pada 1 Ogos 2009 bersamaan hari Sabtu. Setiap kawasan telah diarahkan agar dapat menghantar penyertaan muslimat seramai 50 orang. DMP Kawasan juga diminta membawa bersama banner mansuhkan ISA. (Contoh banner yang akan dibawa ke himpunan tersebut adalah diambil dari DMP Ngr Perak)

Semua muslimat yang turun ke himpunan ini diminta supaya samada menaiki kenderaan sendiri atau menaiki keretapi. Semasa perjalanan ke KL muslimat diminta memakai pakaian samaran dan boleh bertukar ke pakaian bersesuaian dengan himpunan apabila tiba di tempat himpunan bagi mengelakkan ditahan sebelum samapai ke tempat himpunan.

Kepada yang tidak dapat bersama-sama, buatlah solat hajat dan bacaan Yassin. Semoga usaha kita membuahkan hasil. Allahuakbar !


SELAMAT BERHIMPUN MANSUHKAN ISA.

Berikut garis panduan yang diambil dari blog PAS Kawasan sebagai rujukan.


TATACARA PERHIMPUNAN MANSUHKAN ISA


Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri selepas Himpunan Bersih dan PPSMI. Uniknya pada hari yang sama akan ada satu lagi himpunan lain yang Menyokong ISA.

Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi akan hadir, pelbagai agama dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Kerajaan Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.

Perkara yang perlu anda bawa/sediakan
1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
2. Duit-maksimum RM 100 sahaja.
3. Memakai pakaian yang sopan-Baju berwarna Hitam/Merah-Sebaiknya ada logo Mansuhkan ISA
4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
5. Aksesori kempen-Button, riben, topi, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Mansuhkan ISA boleh digunakan.
6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula
.8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.
9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis N100 Respirator, N95 Respirator dan Surgical facemask untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.


Perkara yang tidak dibenarkan

1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
3. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan.
4. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal untuk memudahkan pergerakkan.
5. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
6. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan kempen mansuhkan ISA
7. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
8. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan Kempen Mansuhkan ISA tidak dibenarkan.
9. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
10. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov *****tail dan mercun.
11. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
12. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.13. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
14. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan

1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
3. Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.
4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
8. Jangan lupa charge bateri handphone dan kamera.
9. Pastikan anda berniat kerana Allah (bagi yang muslim) sebelum keluar rumah.
10. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan; Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara.
11. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
12. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
13. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
14. Jangan memakai baju Mansuhkan ISA sebelum perhimpunan bermula.


Semasa perhimpunan dan perarakan

1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan (Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara) dan tunggu arahan dari Field Commander yang dilantik.
2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau Field Commander sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada Field Commander.
3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan Field Commander.
4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
11. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
12. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi sound system akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
13. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
14. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
15. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.
16. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.
17. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.


Selepas perhimpunan
1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila datang ke Pejabat Agung PAS untuk membuat laporan dengan Unit Amal bertugas.
3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan maklumat di Pejabat Agung PAS atau ke Balai Polis berkaitan untuk bebaskan mereka.
4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.
5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com.


Apa anda perlu buat jika kumpulan Pro-ISA buat Provokasi
1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan Field Commander Unit Amal.
2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
3. Jangan hampiri mereka.
4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.


Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan
1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.
3. Duduk jika pimpinan arahkan.
4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air water canon berwarna kuning.
5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
6. Ambil gambar mereka jika sempat.
7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.


Apa yang anda perlu buat jika ditahan
1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab “Masih tengah cari kerja” atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab ”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.
8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.
10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.


Apa yang anda buat selepas dibebaskan
1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.


Perhatian!
1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini

Secara keseluruhannya, kita berdoa semoga Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak Kerajaan dan memberikan laluan untuk Agong mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan negara kita.

Ingat, Himpunan Bersih dan PPSMI berjaya menyedarkan Kerajaan kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk memansuhkan ISA.Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada Field Commander atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS