Apabila Wanita Pertama Berucap



Pakaian menutup aurat tidak menghalang untuk wanita muslim berada di gelanggang antarabangsa mahupun dalam masyarakat. Asalkan muslimah menjaga batas-batas syarie InsyaAllah muslimah mampu kehadapan menyentuh isu muslimah khususnya dan isu global amnya.

ROM 16 Nov. – Wanita pertama Iran membuat kemunculan luar biasa serta memberi ucapan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini dalam forum di bandar raya ini menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang kebuluran bermula hari ini.

Isteri kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad boleh dikatakan tidak pernah membuat kemunculan awam bersama suaminya dan menghadiri perhimpunan awam sebelum ini.

Azam al-Sadat Farahi menghadiri forum berkenaan sebagai isteri Presiden Iran semalam, sebelum persidangan tiga hari mencari strategi menentang kebuluran bermula hari ini di ibu pejabat Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) PBB di Rom.

Dengan pakaian ‘chador’ hitam, Azam tidak berucap di podium tatapi dari tempat duduknya bersama barisan pasangan 60 ketua negara lain yang dijadualkan menghadiri persidangan, kata jurucakap FAO, Christopher Matthew.

“Ucapan beliau tidak dijangkakan dan beliau tidak mempunyai teks ucapan, ia adalah secara spontan,” kata pegawai FAO.

Agensi berita rasmi Itali, ANSA melaporkan, wanita nombor satu itu menggambarkan Iran sebagai contoh dalam memerangi kebuluran dengan memberitahu bahawa sistem negaranya, ajaran keagamaan, menjamin keselamatan makanan kepada semua keluarga.

Sky TG24 TV Itali berkata, beliau turut mengecam kebuluran kanak-kanak di Gaza.

Forum tersebut diketuai oleh Suzanne Mubarak, isteri Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Hubungan rasmi antara Iran dan Mesir tegang pada 1979 apabila Kaherah menandatangani persetujuan dengan Israel, negara yang dikecam sebagai musuh oleh Teheran. – AP


Berita dipetik dari Utusan Malaysia, hari ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....