SYABAS, kepada kerajaan Kelantan yang telah menambah cuti bersalin sebanyak 90 hari. Begitu juga kerajaan Selangor yang menjadi kerajaan pertama mengambil inisiatif memanjangkan cuti bersalin sebanyak 90 hari sebelum ini. Cuti bersalin lebih panjang diambil bukan semata-mata memberi cuti rehat kepada ibu yang telah bersusah payah melahirkan anak dan mendapat kembali kesihatan yang lebih baik apabila kembali bekerja tetapi demi anak yang dilahirkan yang juga akan menjadi dewasa dan mengepalai kerajaan pada masa akan datang. Tentunya penjagaan yang teliti dan penyusuan ibu sepenuhnya dapat dikecapi oleh bayi yang baru dilahirkan.
Selain itu menggalakkan agar lebih ramai anak dilahirkan oleh ibu muslimah dan membanyakkan umat Nabi saw. Semoga usaha penting ini membuka mata kerajaan pusat betapa pentingnya kebajikan ibu terutama anak yang bakal dilahirkan mendapat didikan pertama dari ibunya sendiri. Dan tentunya promosi penyusuan ibu terlaksana dengan lebih mudah.
2010/05/19
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan melaksanakan peraturan cuti bersalin bagi kakitangan wanita selama 90 hari, mulai tahun depan berbanding dua bulan yang dikuatkuasakan sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar, berkata peraturan baru itu bagi membolehkan kakitangan wanita mengambil masa lebih panjang menjaga anak dan keluarga dalam tempoh pantang bersalin itu.
"Kertas cadangan itu telah diperincikan di peringkat jawatankuasa portfolio saya dan akan diangkat ke mesyuarat Exco minggu depan sebelum diluluskan," katanya selepas mesyuarat Mingguan Exco, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya, pada dasarnya kerajaan negeri sudah lama bersetuju melaksanakan peraturan itu, tetapi mengikut prosedur ia perlu dibentangkan di peringkat mesyuarat Exco untuk mendapat kelulusan.
Ditanya sama ada peraturan baru itu boleh menjejaskan produktiviti kerja penjawat awam, Wan Ubaidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, berkata penjawat awam di jabatan kerajaan negeri ramai dan boleh membantu tugas kakitangan yang cuti bersalin.
"Oleh itu, kita tidak bimbang dengan peraturan melanjutkan tempoh cuti bersalin 60 kepada 90 hari ini boleh menjejaskan produktiviti kerja kakitangan awam," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri terpaksa mengambil masa agak lama untuk meluluskan peraturan itu kerana ia membabitkan banyak implikasi, termasuk pencen kakitangan terbabit.
Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor dan Kedah memperkenalkan peraturan melanjutkan tempoh cuti bersalin bagi penjawat awamnya.
"Kita memikirkan usaha melanjutkan tempoh cuti bersalin itu perlu bagi menjaga kebajikan dan kepentingan golongan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri supaya dengan itu mereka dapat menjaga penyusuan anak dan keluarga dalam tempoh pantang itu," katanya.
Langkah yang diambil kerajaan itu selaras dengan jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk memartabatkan golongan wanita sebagai salah satu sayap penting dalam pembangunan negara. - Bernama
Kelantan laksanakan cuti kakitangan wanita bersalin 90 hari
3:01 PM |
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment
Ulasan Anda....