CIKGU MALA PAKAI SARUNG TANGAN

2011/01/25-BERITA HARIAN


LABIS: Bagi meredakan ketegangan dan kontroversi tercetus berikutan isu enggan bersalam, calon PAS, Normala Sudirman kini dilihat memakai sepasang sarung tangan dalam kempen bertemu pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, semalam.

Kehadiran Normala memakai sepasang sarung tangan berwarna putih ketika melawat peniaga Cina di Jalan Pasar di sini bukan saja menarik perhatian penduduk yang ditemuinya, malah pengamal media turut tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto imej terbarunya.

Bekas guru itu dilihat tidak lagi kekok apabila bertemu masyarakat setempat berikutan tidak perlu mengelak untuk bersalaman selain turut menyerahkan kad tahun baru Cina dan limau mandarin kepada mereka.

Normala berkata, isu berkenaan sebenarnya hanya digembar-gembur berikutan kurangnya pemahaman terhadap kekangan seorang wanita Muslim.

“Ini sebenarnya bukan satu isu, saya pasti kebanyakan pihak sudah mengetahui saya sebagai wanita Muslim tidak boleh bersalam dengan bukan muhrim tetapi saya digambarkan tidak mahu bersalaman dengan kaum lain,” katanya pada sidang media bersama media Cina dan portal berita internet di Pejabat DAP Labis di sini, semalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....