Perkhidmatan bas wanita harus dipuji

DMPK menyambut baik perkhidmatan bas wanita yang telah diperkenalkan di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun adalah menjadi harapan semua wanita di Malaysia untuk mempunyai BAS WANITA di setiap negeri masing-masing. Moga impian ini akan menjadi kenyataan demi menjaga maruah wanita.


20 Safar 1432H.
Oleh : Nur Idayu Abd Rahman.


Usaha Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) membuka lapan laluan baru utama bagi perkhidmatan bas wanita dan dua Rapid Bas Wanita bagi setiap satu laluan pada waktu puncak harus dipuji.

Unit Siswi Karisma (Sisma), sebuah sayap mahasiswa wanita di bawah Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) menyokong tindakan RapidKL dalam memastikan keselamatan golongan wanita untuk sampai ke destinasi terutama ketika waktu berpenumpang tinggi.

Tindakan ini dilakukan setelah tempoh percubaan bas wanita yang telah dilancarkan selama sebulan dan berakhir pada 31 Disember lepas mendapat pujian dan maklum balas baik dari pengguna wanita yang berpuas hati dengan perkhidmatan ini.

Rata-rata pengguna wanita yang terdiri dari penjawat awam dan swasta menyatakan kelegaan apabila mereka tidak perlu lagi bersesak-sesak dengan lelaki dan terhindar dari sebarang kemungkinan gangguan seksual semasa menggunakan perkhidmatan bas wanita sewaktu pergi dan pulang dari kerja mahupun belajar.

Langkah ini bukan lagi baru di negara kita setelah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengasingkan satu koc untuk wanita dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna wanita pada April tahun lalu.

Perkhidmatan seumpama ini juga sebenarnya sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Rusia, Mexico, Iran, Brazil dan Emiriah Arab Bersatu dengan hasrat mengelakkan gangguan seksual sejak tahun 2007 .

Sisma juga mendesak agar langkah penyediaan pengangkutan awam yang lebih sempurna diwujudkan bagi membolehkan pengguna-pengguna pengangkutan awam mempunyai ruang peribadi yang secukupnya di dalam bas mahupun tren pada waktu puncak, supaya pengguna pengangkutan awam tidak dibebankan dengan tekanan.

Termasuk juga mewujudkan perkhidmatan yang lebih mesra terhadap golongan OKU dan warga emas yang masih kurang diberi perhatian.

Begitupun, Sisma memandang langkah serius masih perlu diambil bagi menangani masalah gangguan seksual yang memerlukan penyelesaian jangka masa panjang tanpa mengenal lokasi mahupun destinasi.

Masyarakat seharusnya dididik agar menghormati kaum wanita dan bukan memandang kaum wanita sebagai suatu golongan yang lemah dan tertindas namun sebagai golongan yang dilindungi dan dipelihara kerana keistimewaannya serta martabat yang diangkat dalam agama Islam.

Harakahdaily/-

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....