Hari Wanita: Kembali Kepada Syariah Islam





Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak seluruh
wanita negara ini membuat perubahan bagi merubah nasib mereka pada tahap
yang lebih gemilang sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia ke-100, hari ini.
“DMPP turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia kepada
seluruh wanita di mana jua mereka berada,” ujar ketuanya, Ustazah Nuridah
Mohd Salleh.
Sempena 100 tahun sambutan hari tersebut kali ini dengan temanya
Equal acsess to education, training, science and technology: 
Pathway to decent work for women – Kesamarataan peluang terhadap
pelajaran, latihan, sains dan teknologi: Laluan kerjaya terpuji untuk wanita”.
Sebenarnya, kata beliau dalam pandangan Islam, wanita mempunyai hak-hak
yang sama dengan lelaki di mana Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa
wanita adalah pelengkap bagi lelaki manakala lelaki juga adalah pelengkap
bagi wanita.
Sabda Rasulullah s.a.w pula yang bermaksud: “Sebenarnya wanita adalah
saudara kandung bagi lelaki!”
“Sesungguhnya dari maksud hadis tersebut jelaslah bahawa pada pandangan
Islam tidak ada pengurangan atas hak-hak wanita ataupun kezaliman atas
wanita demi kepentingan lelaki kerana Islam merupakan satu syariat Allah
yang diturunkan untuk lelaki dan wanita sekaligus tanpa pengecualian,”
ujarnya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, jelasnya sebarang bentuk ketidak adilan ke atas wanita di dalam
setiap aspek kehidupan amatlah ditegah dan bercanggah dengan
ketentuan Ilahi.
Apatah lagi, ujarnya amat besarnya peranan wanita yang mesti
disempurnakan oleh wanita, seperti kata-kata bijak pandai:
Seorang ibu ibarat sekolah, apabila kamu siapkan dengan baik,
bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya.
Sehubungan itu, menurutnya Pakatan Rakyat menawarkan
beberapa program di dalam pelaksanaan agenda Dasar Bersama
Pakatan Rakyat seperti menggubal akta bagi memastikan golongan
wanita mendapat layanan yang adil dalam segenap bidang.
Di samping itu, memberi penekanan ke arah meningkatkan
Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam
tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh
20 tahun yang lalu dan memperuntukkan 30% perwakilan wanita
dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
Pakatan Rakyat juga, tambahnya menangani segala bentuk
keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman
setimpal yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan
keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
Selain itu, katanya memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan
seperti  pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang
bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.
Beliau menambah, Pakatan turut memberikan bantuan untuk
meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan,
mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan
dasar-dasar negara, memperkenalkan program kepekaan jantina ke
dalam kurikulum sekolah dan mengiktiraf peranan suri rumah di dalam
pengkukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan
masyarakat dan negara.
Justeru, ujarnya sayugia wanita mengambil inisiatif dan keprihatinan
terhadap tawaran-tawaran tersebut agar seluruh wanita Malaysia dapat
berperanan dan memberikan sumbangan positif terhadap usaha-usaha
Pakatan Rakyat merubah nasib kaum wanita pada tahap yang lebih gemilang.
“Sesungguhnya nasib kita adalah di tangan kita juga seperti penegasan
Allah SWT di dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib
seseorang individu atau kaum tanpa mereka berusaha mengubah sikap
dan berusaha ke arah reformasi kehidupan yang lebih baik.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan perubahan ini.
Ubah sekarang, selamatkan Malaysia,” ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....