Muslimat PAS Ajak Wanita Buat Perubahan


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak seluruh 
wanita negara ini membuat perubahan bagi merubah nasib mereka pada tahap yang 
lebih gemilang sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia ke-100, hari ini.
“DMPP turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia kepada seluruh 
wanita di mana jua mereka berada,” ujar ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Sempena 100 tahun sambutan hari tersebut kali ini dengan temanya 
Equal acsess to education, training, science and technology: 
Pathway to decent work for women – Kesamarataan peluang terhadap 
pelajaran, latihan, sains dan teknologi: Laluan kerjaya terpuji untuk wanita”.
Sebenarnya, kata beliau dalam pandangan Islam, wanita mempunyai hak-hak yang 
sama dengan lelaki di mana Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa wanita 
adalah pelengkap bagi lelaki manakala lelaki juga adalah pelengkap bagi wanita.
Sabda Rasulullah s.a.w pula yang bermaksud: “Sebenarnya wanita adalah saudara 
kandung bagi lelaki!”
“Sesungguhnya dari maksud hadis tersebut jelaslah bahawa pada pandangan 
Islam tidak ada pengurangan atas hak-hak wanita ataupun kezaliman atas wanita 
demi kepentingan lelaki kerana Islam merupakan satu syariat Allah yang diturunkan 
untuk lelaki dan wanita sekaligus tanpa pengecualian,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, jelasnya sebarang bentuk ketidak adilan ke atas wanita di dalam setiap 
aspek kehidupan amatlah ditegah dan bercanggah dengan ketentuan Ilahi.
Apatah lagi, ujarnya amat besarnya peranan wanita yang mesti disempurnakan oleh 
wanita, seperti kata-kata bijak pandai: Seorang ibu ibarat sekolah, apabila kamu 
siapkan dengan baik, bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya.
Sehubungan itu, menurutnya Pakatan Rakyat menawarkan beberapa program di 
dalam pelaksanaan agenda Dasar Bersama Pakatan Rakyat seperti menggubal 
akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam segenap 
bidang.
Di samping itu, memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi 
Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% 
sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu dan memperuntukkan 30% perwakilan wanita 
dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
Pakatan Rakyat juga, tambahnya menangani segala bentuk keganasan terhadap 
wanita dan anak-anak dengan hukuman setimpal yang lebih berat dijatuhkan 
ke atas pesalah serta memastikan kebersanan pusat krisis di setiap hospital dan 
balai polis.
Selain itu, katanya memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti  
pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat 
kerajaan dan sektor swasta.
Beliau menambah, Pakatan turut memberikan bantuan untuk meringankan beban 
keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan, mengambil kira perspektif 
gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara, memperkenalkan 
program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah dan mengiktiraf peranan 
suri rumah di dalam pengkukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada 
pembangunan masyarakat dan negara.
Justeru, ujarnya sayugia wanita mengambil inisiatif dan keprihatinan terhadap 
tawaran-tawaran tersebut agar seluruh wanita Malaysia dapat berperanan dan 
memberikan sumbangan positif terhadap usaha-usaha Pakatan Rakyat merubah 
nasib kaum wanita pada tahap yang lebih gemilang.
“Sesungguhnya nasib kita adalah di tangan kita juga seperti penegasan Allah SWT 
di dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang individu 
atau kaum tanpa mereka berusaha mengubah sikap dan berusaha ke arah reformasi 
kehidupan yang lebih baik.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan perubahan ini. 
Ubah sekarang, selamatkan Malaysia,” ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....