Kepimpinan adalah amanah, bukan kebanggaan



Nasrudin Hassan   
ALQIADAH : TAKLIF LAA TASYRIF
Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak 
ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi 
memastikandasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati 
objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai 
peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf 
oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan 
(tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة
 وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها.

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! 
Tidakkah mahu engkau melantikku?”.

Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya 
engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat 
nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya 
dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." 
(Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat 
tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah 
anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar 
tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah 
tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan 
memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu 
memperkasakan institusi kepimpinan ini.

عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما:
يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام
"إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama 
dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: 
Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian 
 wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi 
juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, 
kami tidak akan mengangkatseorang pun yang meminta 
sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak 
utk memperolehinya .

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan 
dengan pengaruh pidato ataupopulariti , begitu juga tidak dengan 
pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah
melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli 
parti berasaskan kelayakandan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan 
komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang 
muktamar yang ada pemilihan ) tetapi thiqah lahir dari kesungguhan 
berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas 
ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.

Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita 
adalah calon popularadalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus 
menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan
 bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam
dan parti yang memperjuangkannya.

Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang 
pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah 
 mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada
kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , 
mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader 
dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak .Muktamar 
jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok
yang sangat dinilai hina oleh syara' .

Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf 
kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai 
perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing dari apa yang 
kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba 
selama ini melalui usrah dan kuliah haraki
di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih 
dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan 
keupayaan dan kelayakkan sebenar.

Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan 
dirinya sendiri.

عن عبد الرحمن بن سمرة
 عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة
وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها

Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW 
sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan 
pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan 
maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya 
tanpa permintaan maka engkau dibantu  (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Semoga muktamar PAS tahun ini , yang akan berlansung di 
Taman Melewar Gombak dan Shah Alam Selangor [Dewan - Dewan] 
 akan menjanjikan satu muktamar yang bukansahaja meriah pada 
sambutannya tetapi juga dilihat hebat dan perkasa 
menggarap perjalanan parti . Salam perjuangan dari saya

Nasrudin bin Hj Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....