PEMAKAIAN SKIRT PEMAIN BADMINTON WANITA : DEWAN MUSLIMAT PAS TAMBUN TEGAS PENDIRIAN MEMBANTAH

Dewan Muslimat PAS Kawasan Tambun membantah kenyataan Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh , Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam siaran berita edisi 23 April 2011 di mana beliau menyokong untuk menjadikan pemakaian skirt sebagai pakaian rasmi untuk pemain badminton wanita."No problem..It looks better", katanya dalam siaran berita sukan. Apa yang amat dikesali oleh DMPK Tambun khususnya adalah pendirian pihak BAM yang bukan sahaja menerima dengan terbuka tetapi menyokong sepenuhnya arahan Badminton World Federation (BWF) itu. Arahan terbabit berkuatkuasa bermula pada Siri Terbuka India 26 April hingga 1 Mei ini.

Arahan yang telah dikeluarkan oleh BWF tersebut diselaraskan di peringkat seluruh dunia. Walaubagaimanapun, beberapa negara lain seperti China dan India telah menyatakan bantahan mereka tanda tidak setuju atas beberapa faktor yang diberikan. Begitu juga kenyataan beregu wanita utama negara Chin Eei Hui berkata dalam Harian Metro, BWF tidak sepatutnya mewajibkan dan melaksanakan kod etika pakaian kepada pemain wanita kerana ia bersifat tidak adil.

Wanita tidak sepatutnya dijadikan bahan eksploitasi dengan pemakaian skirt dengan menyatakan 'it looks better' seolah-olah pemakaian seluar pendek atau 'short' sebelum ini tidak menarik? Apa yang penting prestasi pemainlah yang perlu diutamakan bukannya mewajibkan pemakaian skirt demi tujuan fesyen dan bahan tatapan lensa kamera yang sebenarnya ingin mencari sudut pemain beraksi dengan pemakaian skirt.

Justeru, alasan oleh BWF supaya sukan badminton ini nampak lebih menarik dengan pemakaian skirt di kalangan pemain wanita tidak langsung munasabah! Sekali lagi, DMPK Tambun menggesa agar BAM menarik balik sokongan terhadap arahan tersebut. 



Usah paksa pakai skirt

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my
     
TINDAKAN Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mewajibkan pemakaian skirt kepada pemain wanita bermula Siri Super Terbuka India 26 April hingga 1 Mei depan terus mengundang reaksi pemain badminton.

Pada sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, beregu wanita utama negara Chin Eei Hui berkata BWF tidak sepatutnya mewajibkan dan melaksanakan kod etika pakaian kepada pemain wanita kerana ia bersifat tidak adil.

“Pada dasarnya saya tiada masalah memakai skirt, tapi apabila perkara ini diwajibkan, saya rasa tidak patut. Kenapa perlu mengatur pemakaian kami selagi ia tidak mendatangkan masalah kepada sukan ini,” kata Eei Hui yang sering memakai seluar pendek ketika beraksi.

“Saya pernah memakai skirt, tapi lebih selesa dengan seluar pendek ketika bermain.” BWF mendakwa dengan pengenalan peraturan mewajibkan pemakaian skirt ke atas pemain wanita akan dapat menarik lebih ramai minat penonton dan penaja, sebagaimana evolusi fesyen dalam tenis yang menjadikan sukan itu lebih menarik.

Tindakan BWF ini bagaikan cuba menggunakan tarikan pemain wanita untuk menarik minat penonton ke stadium bagi menyaksikan perlawanan, namun pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying, beranggapan memakai skirt tidak menunjukkan seseorang pemain itu berpakaian seksi.

“Memakai skirt tidak seksi kerana bahagian dalam skirt itu ada seluar ketat. Saya selesa dengan peraturan ini kerana saya sentiasa memakai skirt,” kata Liu Ying.

Liu Ying memilih pemakaian skirt sebagai pakaian yang lebih selesa berbanding seluar pendek ketika bermain badminton.

“Sebagai wanita, saya rasa lebih baik kita menyerlahkan sifat kewanitaan. Namun saya tidak tahu pula apa pendapat orang lain kerana setiap orang ada pendapat sendiri,” katanya.

Pasangan Liu Ying, Chan Peng Soon pula menganggap pemakaian skirt atau seluar pendek di kalangan pemain wanita tiada bezanya.

Katanya, paling penting adalah prestasi pada perlawanan, kerana faktor itu yang mahu disaksikan penonton dalam dunia badminton moden yang pantas.

Pemain badminton Jepun sudah lama mengamalkan pemakaian skirt, begitu juga dengan beberapa pemain Eropah seperti Pi Hongyan (Perancis) dan Yao Jie (Jerman).

Begitupun amat jarang melihat pemain China yang menguasai persada badminton dunia memakai skirt. Ketika ini hanya Wang Shixian yang biasa dilihat memakai skirt di mana-mana kejohanan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

Anonymous said...

Thank's Infonya Bray .. !!!

www.bisnistiket.co.id

Post a Comment

Ulasan Anda....