Dewan Muslimat Pas telah mengemukakan senarai 30 nama  kepada pucuk pimpinan Pas untuk dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum  Ke-13 (PRU13).
 Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kesemua  mereka merupakan calon berwibawa serta difikirkan sesuai untuk turun  gelanggang PRU13.
 
 Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan pusat  untuk meletakkan mereka di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai.
 “Kita telah mengenal pasti calon-calon Muslimat berkelayakan untuk diletakkan sebagai calon pilihan raya umum tidak lama lagi.
 “Lokasi serta calon yang dipilih kita serahkan kepada pimpinan pusat  untuk membuat penentuan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Siti Zailah berkata, calon-calon berkenaan terdiri dari pelbagai latar  belakang dan ada dalam kalangan mereka berusia sekitar 20-an.
Menurutnya, mereka merupakan golongan berpendidikan serta mampu menjadi seorang pemimpin.
 “Ada dalam kalangan mereka juga golongan profesional seperti peguam  serta doktor yang dirasakan benar-benar layak serta berwibawa.
“Keseluruhan lebih 30 calon yang disenaraikan ini adalah Muslimat dari seluruh negara,” katanya.
 
sumber :harakah