ANGKARA NAFSU


Sentral: Angkara nafsu
Oleh Sarah Sulaiman 
sarahsulaiman@bharian.com.my
2010/08/05

PENGHUNI Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bersama bayi luar nikah yang dilahirkan  di pusat berkenaan.
PENGHUNI Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bersama bayi luar nikah yang dilahirkan di pusat berkenaan.

Bilangan remaja hamil tanpa nikah ke Baitul Ehsan meningkat 

SABAK BERNAM: Seramai 16 remaja perempuan hamil tanpa nikah, purata dua orang sebulan dimasukkan sama ada secara sukarela atau menerusi perintah mahkamah ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di sini, sejak Januari lalu.


Pengusaha Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Mohd Makhi Adnan, berkata seramai lapan remaja sudah melahirkan anak dan berada dalam tempoh pantang, manakala lapan lagi masih menunggu kelahiran.


Beliau berkata, semua remaja terbabit masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) berusia antara 16 hingga 20 tahun. 

“Remaja yang baru bersalin diberi perlindungan minimum antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada keputusan ibu bapa yang menghantar anak mereka secara sukarela ke pusat itu atau perintah mahkamah. 

“Apa yang membimbangkan kami, jumlah kemasukan remaja yang berdepan dengan pelbagai masalah sosial termasuk hamil luar nikah ke pusat perlindungan itu yang ditubuhkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2001, terus meningkat kepada 96 orang dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding secara purata 60 orang sepanjang tahun lalu. 

“Peningkatan hampir 40 peratus dalam masa setahun itu perlu diberi perhatian ibu bapa dan pelbagai golongan masyarakat, dengan tidak hanya menyerahkannya kepada kerajaan semata-mata untuk menanganinya,” katanya kepada Sentral di sini. 
Mohd Makhi berkata, walaupun mementingkan kaedah pemulihan kerohanian dan keagamaan, pusat itu tidak mengabaikan pendidikan apabila memberikan tuisyen secara percuma kepada pelatih yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

“Ada 15 pelatih di sini yang masih meneruskan pengajian dengan mengambil tuisyen untuk menghadapi SPM dan 13 lagi bakal menduduki PMR. 

“Pelatih di sini juga dilatih pelbagai kemahiran bagi memberikan mereka nilai tambah apabila keluar dan berdepan dengan kehidupan sebenar,” katanya. 

Beliau berkata, penubuhan pusat ini bertujuan membangunkan asnaf ar Riqab ke arah mendapatkan keredaan Allah melalui kaedah merawat, memulih dan memberi perlindungan secara menyeluruh serta berkesan berlandaskan perintah agama. 

“Bahagian ar Riqab menjalankan kuasa Enakmen Syariah dan undang-undang sedia ada, mengawal selia pusat pemulihan akhlak dan dadah serta memantau dan menyelaras rumah kebajikan ar Riqab di negeri ini,” katanya. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Ulasan Anda....